IPOH 21 Nov. – Wakil rakyat pembangkang tidak seharusnya disekat daripada menghadiri sebarang program di sekolah kerana mereka juga mempunyai fungsi dan tugas yang harus disempurnakan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada batasan-batasan tertentu dan bukannya sebagai satu ‘lesen besar’ untuk menyebarkan fahaman ideologi politik mereka.

“Siapa kita hendak menolak kehendak rakyat sebab dia yang telah dipilih di kawasan berkenaan.

“Kita bukan bercakap soal orang luar atau orang awam yang tiada kena-mengena, diberi kebabasan masuk. Ini pun saya rasa kita bercakap mengenai wakil rakyat yang menjalankan tugas, jadi kita kena faham, bezakan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangannya berhubung kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang tidak membenarkan ahli Parlimen pembangkang menghadiri sebarang program di sekolah tanpa kebenaran Kementerian Pendidikan.

Menurut Maszlee, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya wakil rakyat terbabit berhasrat untuk berbuat demikian.

Ditanya sama ada beliau merasakan pekeliling tersebut harus dikaji semula, Abdul Aziz berkata: “Saya tidak pasti apa bunyinya (pekeliling tersebut) tetapi apa yang saya katakan, begitulah.

“Maknanya tertakluk kepada prinsip dan pertimbangan kerana kita pun tidak kata wakil rakyat ini ada kebebasan mutlak hendak keluar masuk (sekolah) tanpa mengendahkan peraturan atau keselamatan, bukan macam itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE