IPOH: Semua pihak termasuk wakil rakyat yang ingin memberi sumbangan kepada sekolah dinasihatkan mengikut saluran yang betul melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, pengurusan dan pentadbiran pendidikan di sekolah adalah di bawah kuasa dan tanggungawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk membuat dasar-dasar yang berkaitan.

Menurut beliau, kementerian merupakan pihak yang berhak membuat dasar dan peraturan untuk menjaga kepentingan komponen-komponen di sekolah seperti pelajar, guru, ibu bapa dan PPD demi kelancaran proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta pembangunan pendidikan secara keseluruhan.

“Sesiapa sahaja yang ingin berurusan dengan pihak sekolah dalam apa sahaja bentuk, mestilah mendapat kebenaran pihak KPM/PPD demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan proses pendidikan yg dijalankan dari aspek isi kandungan, pedagogi, koakademik dan juga kokurikulum,” katanya kepada Suara Perak hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Beruas) di Dewan Rakyat kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Rakyat pada Rabu berhubung polisi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang tidak membenarkan Ahli Parlimen pembangkang hadir ke sekolah.

Ngeh dalam soalan lisannya mempersoalkan tindakan PPD Manjung menyekat guru dan pelajar di kawasan yang beliau wakili daripada hadir menerima kamus yang dibekalkannya.

“Saya tahu banyak yang katakan pendidikan tidak patut dipolitikkan, tetapi saya dapati di kawasan Manjung, pihak guru membawa murid-murid untuk menerima kamus daripada saya sebagai wakil rakyat.

“Namun mereka ditegur tidak boleh datang untuk ambil kamus.

“Begitu juga dengan sekolah-sekolah yang menjemput saya dan Ahli Parlimen Taiping (Nga Kor Ming) untuk balik ke sekolah sebagai murid tua (alumni), pun tidak boleh.

“Bolehkah saya dapat penjelasan, kenapa PPD Manjung begitu ketat dalam isu ini?” soal Ngeh.

Mahdzir dalam jawapan balasnya menjelaskan larangan itu bukan sahaja melibatkan PPD Manjung tetapi terpakai kepada semua PPD dalam negara.