KUALA SEPETANG: Walaupun baru tiga hari Program Pemukiman Menteri Besar di Bukit Gantang dan Taiping, banyak masalah rakyat yang telah berjaya diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi contoh, kisah seorang isteri yang baru kematian suami yang perlu menanggung lima orang anak.
Bagi membantu keluarga itu, Dr Zambry berkata, lima adik beradik itu akan menjadi anak angkat Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Kita akan pastikan nasib mereka terbela dan mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya kepada pemberita selepas walkabout dan lawatan pameran agensi / jabatan di Dataran Muzium Ngah Ibrahim di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau mengunjungi beberapa penduduk kampung sempena program Ziarah Kasih DUN Kuala Sepetang.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, beberapa anggota Exco dan wakil rakyat.

Dr Zambry turut memuji peranan yang dimainkan Ketua-Ketua Bahagian di kawasan yang dikuasai pembangkang untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Katanya, beliau dapati mereka sering berdamping dengan rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik.

Beliau memberikan contoh di kawasan Parlimen Taiping dan Bukit Gantang di mana ketua-ketua UMNO dan BN turun padang menemui rakyat dan mendengar permasalahan mereka selaras dengan konsep 3P iaitu Padang, Perasaan dan Penyelesaian yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

“Kita tidak seperti mereka berdemonstrasi, memaki hamun terhadap kerajaan, lepas itu tidak melakukan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya,’’ ujarnya.