PUTRAJAYA: Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu depan, bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan caruman KWSP kepada suri rumah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berkata langkah terbabit seiring ke arah merealisasikan janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan menyediakan kemudahan kepada suri rumah.

“Saya akan bertemu dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) KWSP bagi pelan tindakan caruman kepada suri rumah.

“Kita perlu menentukan mekanisme seperti siapa yang layak dan bagaimana diberikan sebab caruman dua peratus adalah daripada gaji suami dan kita ada pengiraan kalau (suami ada) isteri satu, dua atau tiga bagi yang beragama Islam.

“Mekanisme akan dikaji secara mendalam kerana ini membabitkan dana RM50 daripada kerajaan kepada sesiapa yang layak menerima,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menghadiri majlis bagi menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, sempena hari pertama memulakan tugas di kementerian berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara mengenai keperluan mengkaji undang-undang sedia ada supaya lebih berkesan dalam melindungi wanita dan kanak-kanak, selain undang-undang mengenai kesaksamaan gender.

Beliau juga akan mempercepatkan usul ke Parlimen membabitkan akta yang akan menjadikan jawatan pekerja sosial sebagai kerjaya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, di samping menjadikan ia lebih menarik.

Mengenai program Permata Negara, Dr Wan Azizah akan bertemu pihak pengurusan program bagi perbincangan menyeluruh, namun akan mengekalkan dasar yang baik dan membuat penambahbaikan yang perlu – berita harian