Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengesyaki seakan wujud persefahaman yang dirancang di antara UMNO dan PAS berikutan keputusan calon PAS menarik diri daripada bertanding di kerusi DUN Rantau pada hari penamaan calon.

Dr Wan Azizah turut mempersoalkan tindakan PAS tersebut yang seolah-olah telah merancang untuk memberi laluan kepada calon BN, Datuk Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan supaya menang percuma.

Katanya, beliau sedar bahawa calon PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan bertanding dan ditahan oleh pasukan polis daripada menyerahkan borang pencalonan pada hari tersebut namun masih hairan dengan tindakan akhir PAS itu.

“Saya nak tanya soalan, kenapa bila calon kita tak boleh bertanding, kenapa calon PAS tarik diri? Bila calon PAS tarik diri, ia seperti memberi isyarat seolah-olah satu ‘understanding’ antara UMNO dan juga PAS berlaku.

“Jadi dalam pilihan raya, kita ada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, sahaja. Yang lain, kita tak boleh bagi, sebab kita kena ubah,”katanya ketika berucap di Kg Baharu Parit Ador,Lintang, dekat sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang merupakan calon Parlimen Pandan turut mengesyaki terdapat cubaan daripada PAS untuk meletakkan calon di sekitar kawasan yang mempunyai majoriti Melayu bagi memecahkan undi calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di kawasan itu.

Jelasnya, tindakan calon PAS itu dilihat sebagai tidak munasabah kerana beliau telah berada di Pusat Penamaan Calon dan hanya perlu tampil ke dewan untuk menyerahkan borang pencalonan namun tidak berbuat demikian.

“Anda dah dekat sana, kenapa tak masuk sahaja dan serahkan dokumen anda dan bertanding, kenapa biarkan BN menang tanpa bertanding? Kalau tidak ada understanding, lawanlah kan. Kenapa menangkan calon BN dengan mudah,”katanya lagi.

Menurutnya, beliau tidak akan melupakan jasa PAS sekitar tahun 1999 membantunya dan PKR namun tindakan parti itu kini dilihat bertentangan dan seperti tindakan memecahkan undi.

Dr Wan Azizah juga tidak menafikan dan mengesyaki terdapat percubaan lain oleh untuk memecahkan undi di beberapa kawasan khususnya majoriti Melayu dengan bertanding di Bayan Baru (39 peratus), Sungai Siput (33 peratus), Teluk Intan (38 peratus), Bentong (45 peratus).

 

BERITA BERKENAAN : mat sabu tidak kesal selepas ahli amanah pamer perbualan seksi