RANAU: Seorang wanita warga tua berusia 100 tahun rentung selepas rumah didiaminya musnah sama sekali dalam kebakaran di Kampung Lohan Ulu, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, seorang lelaki dikenali sebagai Adrian Sha, cedera di bahagian kepala serta melecur.

Turut musnah ialah sebuah kereta PERODUA Kancil yang diletakkan di tepi rumah terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan I Devi Engsoi bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.

“Terdapat mangsa wanita berumur lingkungan 100 tahun ditemui rentung dan seorang mangsa lelaki cedera di bahagian kepala dan melecur.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) manakala mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi – berita harian