SEORANG wanita di Texas mengadakan pesta selepas perceraiannya dimuktamadkan.

Acara kemuncak pesta itu adalah meletupkan pakaian perkahwinannya.

Kimberly Santleben-Stiteler menghimpunkan ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk majlis itu yang diadakan di ladang bapanya pada malam 10 November lalu.

Majlis ini diadakan selepas dia yang bersama suaminya selama 14 tahun akhirnya bercerai.

Kakak kepada Santleben-Stiteler, Carla, berkongsi video di Facebooknya menunjukkan bagaimana pakaian itu diletupkan, dengan tetamu yang hadir kemudian bersorak.

“Saya mahu mengeluarkan semua benda berkaitan perkahwinan kami dari rumah ini,” kata Santleben-Stiteler kepada The Fort Worth Star-Telegram.

“Gambar di loteng, cincin di tempat selamat (tetapi mungkin akan menjualnya) dan pakaian yang saya mahu bakar.”

Walaupun dia menerima cadangan daripada rakan dan ahli keluarganya supaya mendermakan saja pakaian itu, wanita itu nekad untuk membakarnya.

“Bagi saya pakaian itu mewakili satu pembohongan,” kata Santleben-Stiteler dalam laporan itu.

Dia mendapat bantuan bapa dan adik iparnya untuk menyediakan bahan letupan tersebut. Untuk meletupkan pakaian itu dia menggunakan Tannerite yang menelan kos AS$200 (RM838).

Santleben-Stiteler berkata dia terpaksa berlatih untuk menyasarkan pakaian itu, kerana keluarganya tidak pasti meletupkan pakaian dari jarak 100 meter sudah cukup selamat.

Dia bagaimanapun berjaya meletupkannya dengan sekali percubaan. -AsiaOne

Posted by Carla Santleben-Newport on Sabtu, 10 November 2018