SITIAWAN: Seorang wanita berusia 52 tahun yang mengalami masalah mental ditemui mati lemas selepas dia terjatuh ke dalam perigi di rumahnya di Pekan Gurney, di sini, pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, anak mangsa menyedari kejadian malang yang menimpa Yep Mee Huong apabila dia terlihat besi penutup telaga terbuka.

Katanya, ketika itu, anak mangsa sedang mencari ibunya di bahagian dapur rumahnya memandangkan keadaan kesihatan ibunya yang semakin teruk sejak dua hari lalu.

“Anak mangsa kemudiannya melihat ke dalam perigi itu dan ternampak jasad ibunya yang tidak bergerak di dalamnya. Dia menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang Ahad.

Tengku Mohd. Zailan berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan hasilnya mendapati mangsa maut akibat lemas.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Azmi Mohd Yusof berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera telah bergegas ke rumah mangsa selepas menerima panggilan jam 7.40 pagi.

“Sebaik tiba, kami mendapati mangsa berada di dalam perigi dan seorang anggota turun ke dalam perigi menggunakan tali dan membawa keluar mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.