KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia parah di kaki selepas dilanggar tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) selepas menceroboh landasan LRT laluan Sri Petaling berhampiran Persiaran Ikhlas, Bandar Tun Razak di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun dikatakan berdiri berhampiran landasan dan pemandu tren LRT berkenaan tidak sempat memberhentikan tren lalu melanggar wanita itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Kamal Khan Mohd Sharif, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan pemandu tren terlebih dahulu menerima makluman berlaku pencerobohan di kawasan landasan terbabit.

“Pemandu tidak sempat memberhentikan tren dipandunya dan sebaik melepasi wanita itu, dia terdengar bunyi pelanggaran.

“Ketika membuat pemeriksaan, dia menemui wanita itu dalam keadaan terbaring dengan kakinya cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sementara itu, Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, kecekapan pemandu LRT berkenaan segera memperlahankan tren dipandunya sebaik menerima makluman berlaku pencerobohan, berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

Katanya, sebaik dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Operasi berlaku pencerobohan, pemandu LRT, Roshada Shahida Abdul Rahim bertindak memperlahankan pergerakan tren yang ketika itu sedang menuju ke arah Bandar Tun Razak seperti ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Bagaimanapun, keadaan persekitaran ketika itu terlalu gelap untuk Roshada melihat penceroboh berkenaan dan tren dipandunya kemudian melanggar mangsa.

“Susulan kejadian itu, pihak Rapid Rail akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, wanita berkenaan dipercayai memasuki kawasan landasan melalui pagar yang dipotong di kawasan laluan aras tanah atau ‘at grade’ antara Stesen Bandar Tun Razak dan Stesen Bandar Tasik Selatan.

Susulan insiden itu, bekalan elektrik terpaksa dihentikan pada jam 9.05 malam untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan penceroboh sekali gus menyebabkan perkhidmatan tergendala kira-kira 12 minit – Berita harian