LIMBANG: Kecewa cintanya dipermainkan, seorang wanita cuba membunuh diri dengan menelan pelbagai jenis pil di Jalan Kubong, di sini semalam.

Bagaimanapun, perbuatan mencurigakan wanita berusia 43 tahun dalam Perodua Myvi pada jam 1.30 tengah hari itu, disedari orang awam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, sebaik tiba, polis mendapati wanita terbabit dalam keadaan separuh sedar dipercayai akibat pengaruh ubat yang ditelannya.

Beliau menjelaskan wanita terbabit juga mengunci pintu kereta menyebabkan polis dan bomba terpaksa memujuknya selama beberapa minit.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit bertindak sedemikian kerana kecewa selepas mengetahui teman lelakinya sudah berkahwin.

“Selepas berjaya dipujuk, wanita terbabit dihantar ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini

Mohd Bukhori berkata, pemeriksaan doktor mendapati wanita terbabit mengambil ubat sakit mental dan penahan sakit berdasarkan penemuan paket ubat dari hospital dan klinik swasta.

“Wanita terbabit masih menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya – berita harian