BATU GAJAH – Mahkamah Majistret di sini membenarkan seorang wanita direman empat hari bermula hari ini kerana membuat laporan palsu mendakwa dia diculik pada 3 Mei lalu.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin membenarkan wanita berumur 40-an itu direman sehingga 13 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 182 kerana membuat keterangan palsu.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan tular di laman sosial berhubung seorang wanita mereka-reka cerita kononnya dia diculik ketika menghantar barangan kepada pelanggan di Taiping, pada 3 Mei lalu.

Suspek juga ditahan ketika sedang bekerja di sebuah taska di Shah Alam kira-kira 10 pagi semalam.

Prosiding reman terhadap suspek yang merupakan isteri kepada seorang anggota polis di Seri Iskandar dekat sini itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dekat sini hari ini. – Bernama