BANGI: Seorang wanita berusia 33 tahun yang masih dalam pantang bersalin anak ketiga, ditahan kelmarin kerana mengambil dadah jenis heroin.

Malah, perbuatan itu dilakukan di hadapan bayi lelaki berusia sebulan di kediamannya di Bandar Baru Bangi, di sini.

Ketika serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Hulu Langat pada kira-kira jam 11 malam, wanita itu dikatakan menangis dan meminta dilepaskan dengan alasan mahu menjaga bayinya.

Difahamkan, suami wanita terbabit menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu dan dia kini tinggal bersama ibunya yang berniaga nasi lemak.

Wanita itu ialah antara empat individu ditahan dalam Operasi Cegah (Op Cegah) dijalankan pasukan penguat kuasa terbabit di empat lokasi sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang, Cheras dan Semenyih bermula jam 9 malam hingga 2 pagi.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat, Muhamad Ramlan Syed Ahamed, berkata hasil maklumat diperoleh, pihaknya membuat serbuan di kediaman empat individu terbabit berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat individu terbabit positif dadah jenis methamphetamine, heroin dan ganja.

“Mereka dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 8 (3)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di daerah ini.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung sebarang kegiatan penagihan dadah di daerah ini boleh menghubungi kami atau tampil ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut,” katanya – berita harian