PEKAN: Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan wanita dalam apa juga bidang di negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sepanjang sembilan tahun Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, banyak agenda pembangunan wanita dilakukan seperti dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Kaum wanita tidak pernah dipinggirkan kerajaan, misalnya dalam Bajet 2018 yang lalu Perdana Menteri mengumumkan RM26 juta untuk program latihan keusahawanan, pelaksanaan 30 peratus wanita dalam keahlian sebagai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.

“Selain itu, pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja serta cuti bersalin ditambah di sektor swasta dari 60 hari ke 90 hari menunjukkan komitmen BN untuk memperkasa wanita sebagai ibu, isteri, anak dan wanita berkejaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Memperkasakan Wanita dan Penyampaian Sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Wanita Parlimen Pekan di sini, hari ini.

Seramai 800 ahli NGO dan persatuan, ahli Wanita dan Puteri UMNO serta wanita dari parti komponen BN hadir pada program seminar yang dianjurkan selama sehari bertujuan membincangkan hala tuju wanita dan pelan pembangunan wanita pada masa hadapan.

Rosmah juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata, manifesto BN yang dilancarkan Najib baru-baru ini juga memberi keutamaan kepada golongan wanita terutama dalam peluang perniagaan.

Katanya, tiada sebab untuk kaum wanita di negara ini untuk menolak pentadbiran BN kerana kerajaan yang sedia ada tidak putus memperjuangkan nasib wanita dan mengangkat martabat mereka ke tahap yang tinggi.

“Jika di negara lain belum tentu wanita dilayan seperti di negara kita. Saya lihat wanita di Malaysia sangat beruntung dan bernasib baik kerana ada kerajaan yang menjaga kebajikan mereka serta sedaya upaya untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Rosmah turut menggesa, semua NGO serta rakyat khususnya di Parlimen Pekan supaya tidak terpedaya dengan dakyah dan tohmahan ditabur pihak pembangkang yang hanya mementingkan kuasa untuk menguasai kerajaan namun hakikatnya tidak mempunyai kerjasama antara mereka.

Beliau juga meminta wanita dan puteri UMNO serta parti komponen BN untuk terus konsisten membantu rakyat serta turun padang sekali gus memberi kefahaman kepada mereka mengenai manifesto BN jika kekal memerintah – berita harian