KYOTO – JEPUN. Seorang wanita yang digelar ‘black widow’ yang didakwa membunuh tiga pasangan dan cubaan membunuh mangsa keempat mengaku meracuni suaminya.

Chisako Kakehi, 70, muncul buat pertama kali di Mahkamah Daerah Kyoto, lapor media tempatan atas dakwaan melakukan jenayah di antara tahun 2007 dan 2013.

“Saya bunuh suami saya,” kata Kakehi ketika perbicaraan pada 26 Jun.

Suaminya, Isao Kakehi meninggal dunia pada Disember 2013 ketika berumur 75 tahun dan hasil siasatan sebatian sianida ditemui di dalam badan mangsa, lapor The Japan Times.

Dia dilaporkan meletakkan racun yang diperolehi dari rakan niaganya di dalam kapsul ubat kesihatan suaminya.

Ketika ditanya motif dia melakukan pembunuhan itu, Kakehi mengaku membunuh kerana ingin mendapatkan wang bagi membolehkannya membayar hutang.

Dia mendakwa, suaminya tidak pernah memberi wang perbelanjaan kepadanya sejak mereka berkahwin.

Sementara itu, peguam Kakehi menegaskan, wanita itu tidak bersalah dan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas jenayahnya kerana dia mengalami demensia ringan.

Akhbar Jepun mengelarnya sebagai ‘black widow’ menyamakan wanita itu dengan labah-labah ‘black widow’ yang akan makan pasanganya selepas mengawan.

Dalam pada itu, Kakehi juga dibicarakan kerana membunuh dua suaminya yang lain dan cuba membunuh dan merompak teman lelakinya yang kemudian meninggal dunia akibat kanser.

Keempat-empat lelaki berkenaan berusia antara 70 dan 80 tahun.

Japan Times memetik sumber penyiasatan, lebih daripada 10 lelaki telah menjalinkan hubungan dengan wanita itu dan kemudian diketahui meninggal dunia selepas itu.

Wanita itu dilaporkan mewarisi kekayaan anggaran 1juta Yen (RM37juta).

Pada April lalu, Kaner Kijama, 42, gagal rayuan hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya kerana membunuh tiga teman lelakinya yang dikenali dalam talian dan menjalinkan hubungan untuk mendapatkan wang mereka.

-SinarHarian