TELUK INTAN – Wanita diseru untuk terlibat secara aktif dengan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan ekonomi wanita yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan Daerah.

Isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata dari sudut mikro, aktiviti keusahawanan khususnya di kalangan kaum wanita dijangka akan dapat memangkin peningkatan pendapatan isi rumah.

“Kini, semakin banyak wujudnya perniagaan online dan portal-portal perniagaan one-stop centre di Internet.

“Bagi memastikan para wanita kekal berdaya saing di arus digitalisasi ini, penguasaan teknologi terkini adalah satu kriteria penting yang tidak dapat dielakkan.

“Beranikanlah diri untuk menguasai penggunaan teknologi digital kerana kemahiran ini dapat melonjakkan kemajuan kendiri dan kerjaya masing-masing kelak,” ujar beliau semasa berucap di Program Prihatin Wanita BAKTI sempena Tahun Memperkasa Wanita 2018 di Dewan Rumah Rehat Teluk Intan, di sini, hari ini.

Menurut Rosmah, beliau tertarik dengan pelaksanaan tapak perniagaan wanita tempatan yang dikenali sebagai ‘Ladies Lane’ bersempena dengan Program Bantu Nita di Perak.

Melalui program tersebut, peniaga wanita boleh berniaga seminggu sekali pada hujung minggu selain diberi bantuan modal perniagaan.

Turut hadir ialah isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) Datin Seri Hamidah Khamis, isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Saripah Zulkifli, Ahli Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong dan isteri Datin Seri Adeline Yeoh Pooi Hoon serta Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Rosmah yang juga Yang DiPertua BAKTI menggalakkan agar usahanita merebut peluang untuk berniaga di ‘Ladies Lane’ apabila program itu tersebar luas ke seluruh kawasan Parlimen Perak secara berperingkat kelak.

“Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perak turut mempergiatkan usaha memperkasa ekonomi wanita di peringkat daerah dengan melaksanakan Program Development of Women Entrepreneurs Initiatives yang berteraskan keilmuan, kemahiran dan pemberian sumber-sumber perniagaan seperti dana kewangan, mesin dan bahan mentah.

“Selain itu, terdapat juga Bazaar Nita di mana peniaga wanita diberikan platform untuk memasarkan produk-produk mereka,” tambah beliau.

Rosmah berkata BAKTI amat prihatin dengan isu kos sara hidup yang sememangnya menarik perhatian rakyat.

Justeru, BAKTI sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membantu wanita untuk menceburi bidang perniagaan dan mempergiatkan aktiviti keusahawanan mereka.

Menyentuh mengenai program BAKTI Prihatin, menurut Rosmah, BAKTI telah bekerjasama dengan FAMA untuk mempromosikan program, pakej insentif keusahawanan, bantuan pinjaman dan khidmat nasihat di samping langkah-langkah memperkasakan ekonomi wanita melalui aktiviti keusahawanan digital iaitu Agrobazaar Online.

“Saya dimaklumkan ramai wanita di Teluk Intan ini merupakan pengusaha pelbagai produk industri kecil dan sederhana, jadi mereka boleh memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya,” ujar Rosmah.

Agrobazaar Online adalah platform e-dagang yang terbaik untuk diceburi kerana ia dapat menemukan pengeluar, pengilang, pembekal dan pengguna dalam satu paltform pemasaran yang lebih kompetitif sekaligus menembusi pasaran luar.

Beliau menambah dengan capaian pasaran yang meluas dan kos yang lebih rendah, kualiti hidup pengusaha juga dapat ditingkatkan malahan keuntungan juga dapat diraih berlipat ganda dengan tiada penglibatan orang tengah.

Pada majlis sama, Rosmah turut menyampaikan sumbangan Dermasiswa BAKTI kepada 100 orang pelajar sekolah menengah yang berpotensi cemerlang di kalangan keluarga kurang berkemampuan daripada enam kawasan Parlimen bernilai RM600 setahun setiap seorang.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Kebajikan BAKTI kepada 20 persatuan terpilih di dalam negeri.