Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT:
Hasrat seorang wanita mengaut keuntungan dengan menjual mercun tidak kesampaian apabila dia ditahan polis kerana memiliki lebih 200 mercun pelbagai jenis di rumahnya di sini, pada malam Selasa.

Wanita berusia 54 tahun itu didapati menyimpan 10 jenis mercun di rumahnya di Taman Muhibbah, di sini, ketika ditahan polis pada sekitar jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Abd Fattah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mercun itu adalah untuk jualan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Fattah berkata, wanita tersebut kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.