KUALA KANGSAR – Seorang wanita hamil dan seorang lelaki masing-masing cedera apabila kereta mereka bergesel di Jalan Datuk Sagor, Simpang Tiga Talang, di sini pagi tadi.

Jurucakap dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 pagi.

“Kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta Proton Saga BLM yang dipandu oleh wanita hamil itu dari arah Kuala Kangsar menuju ke Talang yang dilanggar di bahagian kiri oleh sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua mangsa yang tidak tersepit dikeluarkan dari kenderaan mereka oleh orang awam sebelum anggota Bomba tiba ke tempat kejadian dan membawa mangsa ke Hospital Kuala Kangsar menaiki Emergency Medical Rescue Service (EMRS),” ujar beliau ketika dihubungi oleh Suara Perak.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Bahrin dengan kekuatan sebuah jentera, sebuah EMRS dan tujuh anggota.