KUALA KURAU – Sekumpulan nelayan terkejut menemui seorang wanita terapung di tengah laut dalam keadaan masih bernyawa berhampiran Jeti Kampung Nelayan Kuala Kurau, di sini pagi tadi.

Seorang nelayan dikenali Mahadi,30, berkata, lebih kurang jam 8.30 pagi, pihaknya menemui jasad wanita terapung di tengah laut berjarak 50 meter dari jeti itu pada mulanya disangkakan ‘mayat’ terapung.

Bagaimanapun, dia menegaskan wanita itu ditemui masih bernyawa dan sedarkan diri sebelum diselamatkan pihaknya dengan menggunakan bot.

“Ketika itu, kami sedang membersihkan hasil tangkapan kerang di kawasan jeti.

“Salah seorang daripada kami terkejut melihat jasad wanita terapung di tengah laut yang mulanya disangka mayat,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mahadi berkata, mangsa berusia 45 tahun difahamkan bertindak terjun dari Jambatan Kuala Kurau lebih kurang jam 6 pagi.

Menurutnya, kemungkinan itu berdasarkan penemuan sebuah motosikal jenis EX5 milik mangsa diletakkan di tepi jambatan oleh waris mangsa – sinar