PETALING JAYA: Seorang wanita Indonesia maut selepas ditikam dengan pisau di bahagian dadanya di pekarangan kawasan parkir Masjid Al-Husna, di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.18 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Asmaul Chasanah, 28, diserang seorang lelaki Indonesia yang berang kerana wanita itu tidak mahu meneruskan hubungan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata selepas membunuh Asmaul, lelaki itu yang dikenal sebagai Untung, cuba membunuh diri dengan menikam di bahagian perut dan meminum racun di kawasan kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek itu di wad kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 1.50 pagi tadi.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek kira-kira dua bulan. Suspek mengetahui lokasi pekerjaan mangsa dan selama tempoh perkenalan, suspek ada membelanjakan sejumlah wang untuk mangsa. Tujuannya untuk melakukan hubungan intim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata sejak kebelakangan ini, suspek tidak mampu untuk membelanjakan wang seperti yang diminta mangsa.

“Oleh kerana itu, mangsa tidak mahu meneruskan hubungan sehingga mencetuskan kemarahan kepada suspek untuk membunuh wanita itu,” katanya – berita harian