KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia maut dalam kejadian gempa bumi 6.4 magnitud yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia pagi tadi.

Mangsa, Siti Nur Ismawida, 30, maut dihempap runtuhan ketika berada di sebuah rumah di Sembalun Sajang di kaki Gunung Rinjani.

Seorang pendaki, Khairul Azim, 30, berkata mangsa mengikuti kumpulan kecil pendaki turun lebih awal dari kumpulannya.

“Ketika kejadian mangsa ke tandas sebelum berlaku gegaran dan rumah berkenaan roboh menghempap mangsa.

“Keadaan di sini agak kelam kabut dan usaha untuk menghubungi kumpulan pendaki Malaysia yang lain masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Khairul berkata, kumpulannya kini sedang berusaha untuk keluar ke Kuta berikutan banyak jalan yang rosak.

“Kami tidak dibenarkan lalu di jalan utama kerana banyak kerosakan berlaku akibat gempa bumi berkenaan.

“Sehingga kini kumpulan kami masih berada di Sembalun dan tidak boleh keluar dari kawasan ini berikutan laluan banyak terputus,” katanya – berita harian