KUCHING: Seorang wanita menjadi mangsa terbaru wabak anjing gila atau rabies di negeri ini selepas disahkan meninggal dunia 5.01 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berusia 21 tahun itu berasal dari Kampung Koran Bari, Serian mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan bapanya pada 20 April lalu sehingga mengalami luka.

Menurutnya, mangsa kemudiannya sudah mendapatkan suntikan vaksin anti-tetanus di Hospital Serian pada hari sama sebelum dinasihatkan untuk menerima rawatan di Klinik Gigitan Anjing di hospital sama keesokannya.

“Bagaimanapun wanita terbabit tidak pergi ke klinik berkenaan seperti yang diarahkan pihak hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dikejarkan ke HUS pada 20 Mei lalu kerana mengalami kesakitan dan lemah pada bahu kanan sejak empat hari.

“Mangsa kemudiannya ditempatkan di wad pengasingan dan sepanjang tempoh rawatan keadaannya dikesan semakin kritikal dengan mengalami simptom halusinasi, demam dan hilang tindak balas pada kedua-dua tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, pihak hospital juga sudah menghantar sampel klinikal mangsa ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kematiannya disahkan akibat rabies.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, anjing yang menggigit mangsa dipelihara ayahnya sejak tiga minggu lalu dan tidak menerima suntikan vaksin anti rabies sebelum ini.

Tambahnya, sebanyak 11 mangsa disahkan mengidap wabak rabies sejak ia diisytiharkan di negeri ini pada 1 Julai tahun lalu dengan 10 daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi menerima rawatan di rumah dengan defisit neurologi yang kritikal.

Sehingga semalam, kerajaan negeri sudah mengisytiharkan 31 kawasan di lima bahagian di Sarawak sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies.

Bahagian yang terbabit antaranya Serian (21 kawasan), Kuching (lima kawasan), Samarahan (tiga kawasan) dan masing-masing satu kawasan di Bahagian Sarikei dan Sri Aman.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan orang ramai yang digigit anjing agar segera mendapatkan rawatan di hospital terdekat selain membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk disuntik vaksin anti rabies sebagai langkah pencegahan – berita harian