Slim River: Wanita maut manakala kanak-kanak lelaki parah selepas kereta dinaiki merempuh pembahagi jalan di Kilometer 366.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, 1.50 petang tadi.

Mangsa, Ch’ng Siew See, 48, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun putus jari kaki kiri.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi individu menaiki kereta dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 1.57 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba bomba mendapati mangsa wanita tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah pemandu.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, tiga individu lain dilaporkan tidak cedera.