DARO: Seorang wanita ditemui maut di Kampung Sawai, di sini, hari ini, dipercayai diserang buaya berikutan kesan gigitan reptilia itu ditemui di beberapa bahagian badannya.

Mayat mangsa, Maznah Moh, 39, ditemui penduduk kampung yang mencarinya selepas wanita itu hilang ketika menjala udang di sungai kampung berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sumber berkata, kehilangan mangsa disedari selepas penduduk menemui perahu yang dinaikinya hanyut di sungai berkenaan.

Beliau berkata, bimbang sesuatu yang buruk menimpa mangsa, penduduk keluar beramai-ramai mencarinya di sungai berkenaan.

“Ketika perahunya ditemui hanyut, penduduk tidak menemui jala dan mereka mula mengesyaki sesuatu berlaku.

“Pencarian penduduk berhasil kira-kira jam 12 tengah hari, apabila mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat gigitan buaya pada tubuh dan muka mangsa,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, mangsa memang sudah biasa menjala udang bersendirian di sungai berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.15 tengah hari tadi.

“Bagaimanapun, anggota bomba hanya melakukan pemeriksaan selain membantu jika diperlukan oleh keluarga mangsa.

“Ketika anggota bomba tiba, mayat mangsa sudah dibawa oleh keluarganya balik ke rumah untuk urusan pengebumian,” katanya – berita harian