IPOH – Seorang wanita maut digilis selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Sultan Iskandar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, Khor Chow Yeen, 49, yang memandu kereta jenis Nissan Sunny maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, bagaimanapun seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu kereta jenis Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Honda civic yang datang dari arah Jalan Sultan Iskandar menuju ke Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dipercayai merempuh kenderaan mangsa yang keluar dari simpang.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaannya lalu terjatuh di laluan kereta Honda Civic.

“Pemandu berkenaan tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa. Kejadian itu menyebabkan mangsa terperosok bawah kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

-SinarHarian