Kampung Gajah: Seorang suri rumah maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipercayai terbabas memasuki laluannya di kilometer 36, Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Maslia Dahlan,48, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria dipandu lelaki berusia 37 tahun, terbabas dan memasuki laluan mangsa.

Katanya, mangsa yang menaiki motosikal Yamaha 135LC dirempuh kereta berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Changkat Melintang dan bedah siasat dijalankan mendapati mangsa maut akibat kecederaan di kepala.

“Polis sudah menahan pemandu kereta Proton Satria berkenaan dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-myMetro