BATU PAHAT: Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian samun di Jalan Sutera 7, Taman Sutera Yong Peng, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mangsa Tan Chi Ann, ditemui masih hidup oleh orang awam pada jam 1.25 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Pantai tetapi disahkan meninggal pada jam 3 pagi.

Katanya, mangsa sebelum itu dipercayai cuba mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan penjenayah namun suspek yang dipercayai lebih dua orang bertindak agresif sebelum menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Mangsa baru pulang kerja sebagai tukang masak dan dalam perjalanan ke rumahnya di Ang Lok Yuan, dekat Yong Peng. Mangsa dipercayai rebah kira-kira 50 meter dari lokasi motosikalnya terbalik. Turut ditemui di lokasi kejadian tali beg tangan mangsa yang terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Op Selamat 12/2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hubungi pegawai penyiasat di talian 0192805037 atau 074363300 – berita harian