TANJUNG MALIM 6 Mei – Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler di Kilometer 392, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, anggota ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7 pagi.

Katanya, semasa sampai di lokasi tersebut, didapati seorang lelaki yang merupakan pemandu lori bersama seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan dan telah dikeluarkan dari kenderaan itu oleh orang awam.

“Kedua-dua mangsa tersebut dibawa ke Hospital Slim River menaiki ambulans untuk rawatan manakala seorang lagi wanita yang tersepit di dalam lori berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dijalankan dan mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE