TAPAH: Seorang wanita maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suami terbabas, lalu terlanggar penghadang jalan di Kilometer 334.4 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan, kira-kira jam 1.50 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, mangsa, Zila @ Suzilawati Alang Ahmad, 45, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Muhamad Sidek, hanya mengalami kecederaan ringan di badan.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pasangan suami isteri itu yang beralamat di Manjoi, Ipoh, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang dari Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal telah hilang kawalan dan melanggar penghadang besi kiri jalan,” katanya di sini.

Menurutnya, akibat kemalangan tersebut penunggang mengalami cedera ringan manakala pembonceng maut di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.