KUALA NERUS: Seorang wanita maut, manakala anak perempuannya cedera, selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Tok Jembal dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang juga membonceng, Wan Husna Wan Ahmad, 53, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan manakala anaknya, Wan Anis Nadzirah Wan Yunus, 21, hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila dua beranak terbabit dalam perjalanan dari arah Taman Murni Permai, Tok Jembal, di sini menghala ke rumah mereka di Taman Dalya, Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah MPV dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikatakan keluar dari simpang dan melanggar motosikal Honda Wave dua beranak terbabit.

“Perlanggaran itu menyebabkan dua beranak itu tercampak di atas jalan.

“Wan Husna yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang juga penuntut Politeknik Dungun cedera dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian manakala remaja terbabit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan – berita harian