IPOH : Seorang wanita maut dipercayai akibat serangan jantung ketika cuba meleraikan pergaduhan antara anaknya dengan sekumpulan lapan lelaki di rumah mereka di Jalan New Delhi di Buntong di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa, M. Abiramy, 45, rebah selepas terkejut dengan tindakan seorang daripada suspek yang bertindak mengetuk pintu pagar berhampiran tempat mangsa berdiri.

Mangsa yang pengsan kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia selepas 15 minit berada di hospital berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku semasa sekumpulan lelaki datang ke rumah mangsa untuk mencari anak lelakinya yang berusia 23 tahun.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan telah bertindak membuat kecoh sebelum mereka memecahkan kereta jenis Honda Accord milik anak lelaki mangsa.

“Semasa cuba meleraikan pergaduhan itu, seorang daripada suspek telah mengetuk pintu pagar berhampiran tempat mangsa berdiri dan menyebabkan wanita itu terkejut lalu pengsan.

“Mangsa dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya namun dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba 15 minit kemudian,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata, kumpulan lelaki itu juga bertindak agresif apabila mereka membakar kereta Honda Accord berkenaan sehingga kebakaran itu merebak ke rumah mangsa.

Katanya, kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana semasa kejadian tersebut seluruh ahli keluarga mangsa berada di hospital.

“Siasatan mendapati, pergaduhan itu berlaku rentetan perselisihan faham antara anak lelaki mangsa dan seorang lelaki di sebuah kuil di Jalan Spooner pada pukul 5 petang hari kejadian yang mana lelaki itu dikatakan menyembunyikan lembu-lembu milik suspek.

“Gerakan memburu kesemua suspek terlibat sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.