SERDANG: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terperosok di bawah sebuah lori di Kilometer 25.1 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Puchong ke Putrajaya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa, Nur Diyana Farhana Abdul Shukur, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah pada kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut di lokasi terbabit pada jam 9.40 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal hilang kawalan dan terbabas sendiri menyebabkan dia terjatuh.

“Mangsa kemudian terperosok di bawah sebuah lori yang datang dari arah sama dan tidak sempat mengelak mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian