TAPAH 1 Jun – Seorang wanita cedera dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Baru Bidor di sini hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan Lim Sai Guik, 58, melecur pada muka, tangan dan belakang badan akibat disambar api semasa cuba menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, lima anggota dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.38 pagi.

Katanya, kebakaran itu melibatkan dua buah rumah kelas B yang sedang marak terbakar kira-kira 80 peratus.

“Kebakaran tersebut bermula daripada rumah mangsa dan merebak ke sebuah rumah lain yang terletak bertentangan.

“Anggota bomba segera melakukan operasi pemadaman dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Asyraf berkata, mangsa wanita yang melecur kerana disambar api dibawa ke Hospital Tapah oleh orang awam untuk rawatan.

“Operasi memadam kebakaran yang turut dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah itu tamat pada pukul 1.10 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE