BUKIT MERTAJAM : Taktik seorang wanita warga Thailand mengaku rakyat Malaysia ketika cuba mengelak ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang gagal kerana tidak tahu menyanyikan lagu Negaraku.

Dalam operasi di Plaza Tol Juru Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara, di sini, wanita berusia 21 tahun itu pada mulanya memberikan pelbagai alasan apabila diminta menunjukkan kad pengenalannya, termasuk mengatakan ia disimpan ibunya dan gagal mengingati nombor kad pengenalannya.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Mohamad Husni Mahmud berkata, wanita itu bertegas ialah warganegara Malaysia, serta bersekolah dan menetap di Alma, di sini, walaupun gagal menunjukkan sebarang dokumen untuk menyokong dakwaannya.

Beliau berkata, apabila diminta menyanyikan lagu Negaraku, wanita itu gagal berbuat demikian dan menipu keluarganya akan membawa kad pengenalan kepadanya, tetapi mereka tidak muncul setelah hampir sejam menunggu.

“Akhirnya, wanita itu mengaku dia warganegara Thailand dan mengeluarkan surat beranak Thailand yang menunjukkan dia lahir di negara itu.

“Ibunya juga warga negara itu, cuma ayahnya warga Malaysia,” katanya selepas operasi khas bersepadu JPJ Pulau Pinang bersama pelbagai agensi penguat kuasa malam tadi.

Husni berkata, wanita itu pada mulanya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama teman lelakinya yang merupakan orang tempatan berusia 20 tahun kerana nombor pendaftaran kereta Honda yang mereka naiki tidak mematuhi spesifikasi.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 5 lelaki terdiri daripada 3 warga Myanmar dan 2 warga India serta seorang lagi wanita Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan mereka dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu, pihaknya memeriksa 362 kenderaan dengan 92 daripadanya dikenakan 152 saman atas pelbagai kesalahan, termasuk tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen kenderaan, ubah suai kenderaan, lebih muatan dan tiada insurans.

“Operasi membabitkan 231 pegawai dan anggota JPJ bersama polis, imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Agensi Antidadah Kebangsaan dan PLUS itu bertujuan meningkatkan persepsi akan ditahan sekiranya melakukan kesalahan dalam kalangan pengguna jalan raya, selain mengambil tindakan tegas ke atas pemandu tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.”

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis memeriksa 28 kenderaan dan mengeluarkan 4 saman, manakala JAS mengeluarkan 3 saman selepas membuat pemeriksaan ke atas 24 kenderaan.

Sementara itu, Johari turut memberi amaran kepada warga asing supaya mengambil lesen memandu yang ditetapkan kerajaan, jika mereka tinggal melebihi setahun di Malaysia.

“Jika ingkar mereka boleh dikenakan saman walaupun memiliki lesen memandu antarabangsa atau negara asal. Lesen memandu antarabangsa atau negara asal hanya boleh digunakan dalam tempoh setahun menetap di sini saja dan selepas itu mereka boleh disaman memandu tiada lesen.”

Beliau mengulas beberapa kemalangan dan kemalangan maut di Pulau Pinang melibatkan kenderaan dipandu warga asing, termasuk yang terbaru pemandu warga Vietnam merempuh pemandu lori sampah berhampiran Bangunan Persekutuan di Jalan Anson pada awal pagi Jumaat.

Dalam kemalangan 6.40 pagi itu, pemandu lori sampah berusia 62 tahun, Mukhtar Bahari cedera parah dan kaki kirinya terpaksa dipotong dari bahagian atas lutut.