IPOH: Taktik sindiket gores dan menang di sini melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit terbongkar selepas tertangkapnya tujuh individu termasuk seorang wanita sarat mengandung dalam serbuan di Bercham pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, Supt Lee Ewe Kiang berkata, wanita yang mengandung tujuh bulan itu berumur 22 tahun, ditahan bersama seorang wanita warga Vietnam serta lima lelaki berumur antara 20-an hingga 30-an di Blok B Prima Kondominium Bercham, kira-kira jam 7 malam.
Menurutnya, dua lelaki dan wanita warga Vietnam itu ditahan ketika berada dalam Proton Wira di pekarangan kondominium, manakala empat lagi termasuk wanita mengandung tersebut ditahan dalam sebuah unit rumah di kondominium.

“Ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan, antaranya barang kemas, beg tangan, telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai,” katanya dalam sidang media di Ipoh pada Jumaat.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek telah bergiat aktif selama tiga tahun dan terlibat dalam 25 kes penipuan gores dan menang di enam negeri.

“Di Ipoh, kesemua suspek terlibat dalam lima kes penipuan membabitkan kerugian RM307,450 dengan kes terbaharu Rabu lalu membabitkan seorang peniaga sayur yang mengalami kerugian RM31,000.

“Polis sedang menjejak seorang lagi lelaki dipercayai suspek utama kes itu yang membawa lari wang peniaga sayur terbabit,” ujarnya.

Lee turut menasihati orang awam agar berwaspada dan tidak mudah mempercayai taktik penipuan sedemikian.

“Kerjasama orang awam dalam memberi maklumat juga sangat dialu-alukan bagi membantu polis menyelesaikan kes sebegini,” katanya.