PUCHONG: Seorang wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak Jumaat lalu ditemui dalam sebuah kereta di Jalan Bandar 3, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi.

“Mangsa berusia 32 tahun itu ditemui orang awam sebelum individu berkenaan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia ketika tidur di dalam kereta Perodua Kelisa berdasarkan keadaan mayatnya yang terbaring di tempat duduk pemandu.

“Enjin kereta berkenaan dimatikan dan tingkap di tempat duduk pemandu dibuka sedikit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, siasatan awal mendapati mangsa ada pergi ke sebuah klinik di kawasan berkenaan pada pagi Jumaat lalu.

“Doktor di klinik terbabit memaklumkan suhu badan mangsa mencecah 39 darjah celsius ketika itu dan memintanya pergi ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa datang semula ke klinik terbabit sebelum doktor berkenaan memintanya untuk merujuk keadaan kesihatannya di hospital,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kehilangan mangsa sepanjang tempoh tiga hari lalu.

“Kami sudah menghubungi ahli keluarga mangsa berhubung kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya – berita harian