POLIS menahan wanita dipercayai menipu seorang jurujual dalam urusan jual beli Ipad Mini 4 yang tidak wujud membabitkan kerugian RM2,223 pada Mac tahun lalu.

Wanita berusia 47 berkenaan ditahan sepasukan polis di hadapan rumah di Hartamas Regency, Kuala Lumpur, kira-kira 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 16 Mac tahun lalu, mangsa yang berusia 39 tahun tinggal di Air Putih, Kuantan, melayari aplikasi jualan online dan berminat membeli Ipad Mini 4.

“Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak beberapa kali ke akaun bank di atas nama suspek yang keseluruhannya berjumlah RM2,223.00.

“Bagaimanapun, selepas memasukkan duit berkenaan, mangsa masih tidak menerima peranti berkenaan sebelum membuat laporan polis kerana terpedaya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya berjaya menahan suspek di hadapan rumahnya.

“Wanita berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Justeru, Mohd Wazir mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan jualan barang secara atas talian terutamanya yang membabitkan harga yang lebih murah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurusan jual beli menerusi atas talian terutamanya telefon pintar supaya tidak terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan,”€ katanya – berita harian