IPOH: Seorang guru wanita yang menghidapi masalah kemurungan nekad menamatkan riwayatnya dengan terjun daripada tingkat lima pusat membeli belah Ipoh Parade dekat sini petang tadi.

 

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Liew Kit Mooi,36, maut selepas ditemui terlentang di kawasan laluan kenderaan Ipoh Parade oleh pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan insiden melibatkan mangsa yang juga ibu kepada dua anak itu.

“Mangsa dipercayai terjun dari tingkat lima dan jatuh terlentang dan mati di tempat kejadian. Kesemua barang-barang milik mangsa tidak terusik.

“Menurut saksi kejadian yang juga pengawal keselamatan, beliau ada menegur mangsa untuk tidak berlegar di kawasan berkenaan tetapi mangsa terus bertindak terjun,”katanya ketika dihubungi pada Khamis.

 

Mohd Ali berkata suami mangsa yang hadir di tempat kejadian selepas dihubungi mendedahkan mangsa merupakan seorang guru di Pasir Putih.

 

Mohd Ali berkata, menurut suaminya lagi mangsa pernah mengalami kemurungan dan mendapat rawatan sebelum ini di sebuah hospital.

 

“Mangsa juga difahamkan sempat menghantar anaknya ke kelas tuisyen di Pekan Lama selepas selesai mengajar dan tidak pulang ke rumah.

 

“Selepas menghantar anaknya, mangsa dipercayai telah membawa kereta dan meletakkannya di kawasan parkir tingkat bawah sebelum berjalan kaki ke atas.

 

“Suami mangsa memberitahu pihak polis dia tidak menyalahkan mana mana pihak kerana beliau akui mendiang tidak lagi diberikan beban kerja yang banyak setelah mengalami kemurungan,”ujarnya lagi.

 

Mohd Ali berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan tiada unsur jenayah yang dikaitkan buat masa ini.