IPOH: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai mangsa culik ditemukan mati di sebuah rumah di Regat Tasek Jaya Tiga, Taman Tasek Jaya di sini, malam tadi.

Mayat P. Umageswari, 34, dari Taman Kledang Sungai Siput ditemukan terbaring di dalam bilik, rumah satu tingkat kira-kira pukul 10 malam tadi oleh kakaknya yang hanya ingin dikenali sebagai Selvi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan mayat wanita tersebut yang turut berkait dengan laporan orang hilang di Sungai Siput.

Kakak mangsa berkata, adiknya yang bermasalah mental serta menghidap kencing manis dan penyakit jantung diculik di hadapan rumah mereka di Sungai Siput kira-kira 5 petang, Jumaat lalu.

“Kami ada terima panggilan telefon daripada seorang lelaki meminta wang tebusan. Kami cuba siasat dan minta bantuan syarikat telco untuk kesan pemanggil itu selain membuat laporan polis Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Menurut Selvi, berdasarkan maklumat syarikat telco, pihaknya pergi ke tempat kerja lelaki yang dipercayai menculik mangsa sebelum diberikan alamat rumah suspek.

“Sebaik tiba di rumah itu kami tidak boleh masuk kerana berkunci dan terpaksa meminta bantuan daripada pihak polis sebelum menemukan mayat Umageswari dalam keadaan terbaring,” katanya.

Selvi berkata, mangsa ada menghubunginya kira-kira 8 malam tadi memberitahu dia dikurung dalam sebuah bilik gelap selain mengadu lapar.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi mengenal pasti punca kematian.