SHAH ALAM – Wanita di negara ini perlu tahu hak dan undang-undang yang melindungi mereka sekiranya berlaku jenayah kekerasan.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz berkata, sekiranya dikasari lelaki, mereka perlu membuat laporan kepada pihak berwajib.

“Sebagai contoh jika mereka diganggu di pejabat, rakam perbuatan pelaku. Selepas ada bukti buat laporan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Kalau kes kekerasan luar dari tempat kerja, anda boleh ke balai polis untuk melaporkan dan kemudian ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan. Kalau takut, minta tolong saksi dan perlu diingatkan wanita ada banyak saluran seperti Talian Nur dan pertubuhan bukan kerajaan wanita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, masih ramai pekerja di negara ini tidak mengetahui mereka sebenarnya dilindungi di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1995 (Akta 514).

“Akta ini menggariskan bahawa majikan perlu menyediakan dan memastikan tempat kerja itu selamat untuk pekerjanya. Sebagai contoh, jika berlaku gangguan seksual di tempat kerja oleh majikan atau rakan sekerja, anda perlu tahu, anda dilindungi akta ini,” katanya.

Mengulas insiden wanita yang dipukul seorang lelaki di perhentian bas kerana tidak menutup aurat dengan sempurna, Norhimah berkata, tindakan itu tidak betul kerana ia di luar norma manusia.

“Kita ada adab dalam menegur dan Rasulullah SAW tidak menegur dengan cara begitu. Sebagai individu bergelar Islam, kita perlu tahu budaya dan etika menegur itu lebih-lebih lagi di khalayak umum.

“Memang benar dalam al-Quran ada menyebut mengenai aurat wanita dan ia wajib ditutup tetapi, ALLAH tidak menyuruh kita (umatnya) mengambil alih tugas menghukum itu. Sepatutnya kita tegur berhemah dan bukan memukul,” katanya.

Menurutnya, kewujudan akta yang melindungi wanita bukan bertujuan menyebelahi mereka dan menindas lelaki tetapi disebabkan wanita adalah kaum yang lemah.

“Kalau kita lihat di dada-dada akhbar, pelbagai kes penganiayaan dan kekerasan berlaku. Wanita perlu lengkapkan diri dengan ilmu tentang hak dan ke mana perlu pergi jika berlaku jenayah kekerasan,” katanya.

-Sinarharian