TELUK INTAN: Seramai 160 wanita di sekitar Teluk Intan menunjukkan bakat mereka menyembelih ayam yang sebelum ini kebiasaannya dilakukan oleh kaum Adam.

IMG-20170422-WA0003

Aksi mereka dirakamkan dengan telatah cukup menggelikan hati hingga ada yang menjerit dalam Kursus Penyembelihan Ayam Wanita yang dianjurkan buat kali pertama di Perak.

Kursus hasil inisiatif daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim itu juga menyaksikan penyertaan menggalakkan daripada kaum wanita yang kebanyakannya terdiri dari luar bandar sekitar daerah ini.

IMG-20170422-WA0001

Rusnah berkata, pendekatan itu diambil untuk menghapuskan stigma bahawa proses penyembelihan ayam hanya boleh dilakukan oleh golongan lelaki sebaliknya oleh para wanita.

“Kita menyediakan tenaga pengajar yang mempunyai asas dalam penjelasan teknik menyembelih yang betul, untuk memastikan ia halal dimakan oleh semua.

“Saya pun tidak sangka, ramai yang berminat menyertai kursus ini kerana pada awalnya kita sediakan tempat untuk 100 wanita tetapi sampai 160 yang mendaftarkan diri, ini bermakna mereka sudah lama tertunggu untuk mendapat bimbingan yang betul,” katanya kepada Suara Perak.

Menurut Rusnah, kursus yang dijalankan di Batu 8, Changkat Jong itu diharap akan membuka mata golongan wanita bahawa mereka juga kini boleh melakukan rutin itu tanpa bergantung sepenuhnya kepada lelaki sekaligus memudahkan kerja seharian.

“Apa yang mereka pelajari dalam kursus ini bukan sekadar teori asas, malah terus kepada amali penyembelihan itu sendiri, saya harap ini akan menjadi ikutan ramai khususnya wanita di luar bandar,” ujarnya.