SEPANG: Seorang wanita putus pergelangan kaki kiri selepas bas persiaran yang dinaikinya terbabas dalam gaung sedalam tiga meter di Jalan Salak Tinggi-Nilai dekat sini, pagi tadi.

Menurut jurucakap bomba, mangsa berusia lingkungan 30-an cedera parah di bahagian kaki kiri kerana putus bahagian buku lali ke bawah dan di hantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.15 pagi dan jentera tiba di lokasi jam 6.26 pagi.

“Apabila sampai di lokasi, setelah membuat ‘size up’ didapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dua tingkat terbabas ke dalam gaung sedalam tiga meter.

“Didapati terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang pemandu lelaki berusia 40-an yang mengalami cedera ringan.

“Selain itu dua penumpang iaitu wanita cedera parah di bahagian kaki kiri kerana putus bahagian buku lali ke bawah manakala seorang lagi penumpang lelaki berusia 23 tahun cedera ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Salak Tinggi untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Katanya, bas berkenaan dipercayai dari arah Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan menghala ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Pemandu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang besi jalan kiri lalu terbabas sendiri.

“Siasatan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian mendapat ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan keadaan jalan adalah dua lorong sehala, menuruni bukit dan terdapat selekoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.