SERI MANJUNG – Seorang wanita sarat mengandung antara yang cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dengan dua kenderaan lain di lampu isyarat Giant Seri Manjung, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, nahas melibatkan sebuah bas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Toyota Vios yang berlaku jam 5 petang itu mengakibatkan enam mangsa mengalami kecederaan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika lampu isyarat bertukar hijau dan kedua-dua kereta berkenaan meneruskan perjalanan dari arah Giant menghala ke Sitiawan.

“Tiba-tiba bas yang tidak mempunyai penumpang itu datang dari arah kanan dan melanggar kedua-kedua kereta itu di sebelah kanan.

“Akibatnya kesemua mangsa di dalam kereta cedera dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut,” katanya.

-SinarHarian