SERI ISKANDAR – Seorang wanita yang sarat mengandung terkejut apabila suaminya yang disangka sudah bersih daripada dadah ditahan Agensi Anti Dadah Kebabgsaan (AADK) Perak Tengah dalam serbuan di rumahnya di Kampung Sungai Galah,Kampung Gajah awal pagi tadi.

Wanita yang mengandung anak kelima itu menyangka suaminya sudah tidak terlibat dengan dadah kerana tidak ada sebarang perubahan pada diri suaminya.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Mokhtaruddin Mohamad berkata, berdasarkan maklumat, isteri kepada suspek mengetahui suaminya terlibat dengan dadah selepas setahun berkahwin.

Selepas itu dia menyangka suaminya yang berusia 34 tahun itu sudah tidak terlibat dengan dadah sehinggalah kita menahannya di rumah kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

“Suspek juga cuba melawan anggota kami kerana mahu membuktikan dirinya tidak terlibat dengan dadah namun anggota kami bertindak membuat ujian saringan air kencing dan didapati positif Methapetamin,”katanya ketika sidang media di pejabat AADK Perak Tengah di sini semalam.

Mokhtaruddin berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya turut menjumpai dadah dipercayai jenis Syabu seberat 25 gram.

“Kita turut menjumpai dadah dipercayai jenis Syabu yang diletakkan di dalam poket seluar suspek dan kita percaya suspek juga adalah pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan berkenaan.

“Suspek yang ditahan ini kemudian diserah kepada pihak polis untuk sisatan lanjut,”katanya.

Suspek berkenaan adalah antara 18 penagih yang ditahan AADK Perak Tengah dalam Ops Perdana yang dijalankan di sekitar Kampung Sungai Galah dan Changkat Lada.

Operasi yang bermula jam 10 malam kelmarin hingga 12 tengah hari semalam itu telah disertai oleh 28 anggota dari AADK Perak Tengah dan Special Tactical Response and Investigation Key Enforcers (Strike) dari ibu pejabat AADK Putrajaya.