TAIPING – Seorang wanita warga Indonesia berusia 35 tahun berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas dia dilaporkan sesat di kawasan hutan Bukit Larut, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.49 tengah hari tadi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bersama sebuah jentera telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, usaha pencarian dilakukan bermula dari kawasan kaki Bukit Larut.

Advertisement

“Mangsa kemudian ditemui pada jarak 5km dari kawasan kaki Bukit Larut dalam keadaan selamat dan tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Rafeel, mangsa difahamkan mendaki Bukit Larut berseorangan dan kemudian tersesat.

“Mangsa kemudian menghubungi pasukan bomba dengan telefon bimbit miliknya.

“Anggota membawa mangsa turun dan operasi penyelamatan selesai sepenuhnya pada jam 2.14 petang,” katanya -sinar