SUNGAI SIPUT – Seorang wanita nyaris maut setelah tersepit dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Besar, hadapan Kedai Aziz Tomyam, di sini petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 petang.


Katanya anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Saga dan Perodua Viva.

“Mangsa merupakan seorang wanita tersepit di dalam kereta, namun berjaya diselamatkan dengan menggunakan ‘rescue tool’.

“Beliau kemudiannya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.01 petang.