KOTA KINABALU: Seorang wanita tersepit dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Jalan Kolam, Bukit Padang, dekat sini, petang tadi.

Dalam nahas jam 2.15 petang itu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti bagaimanapun bernasib baik kerana hanya cedera ringan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas serta Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan pada jam 2.17 petang.


“Seramai 16 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, kita dapati kemalangan itu membabitkan lapan kenderaan iaitu sebuah lori, PROTON Saga, Toyota Vios, Toyota Hilux, PROTON Iriz, PERODUA Viva, PERODUA Axia dan sebuah motosikal.

“Seorang mangsa wanita didapati tersepit di dalam kereta PERODUA Viva namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, mangsa yang cedera ringan itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk pemeriksaan – berita harian