Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Tidak sampai sembilan bulan dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak kerana kesalahan memiliki dadah, seorang wanita sekali lagi ditahan Polis kerana memiliki 3.06 kilogram dadah jenis heroin dan tiga liter Ethanol bernilai RM214,770 di rumahnya.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan di dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di sebuah rumah kedai di Kampar pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran berkata, ibu kepada tiga orang anak itu didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau yang kesemuanya bersangkutan dengan kes dadah.

Katanya, suspek wanita itu yang dikenakan perintah sekatan di Kampar, dipercayai cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyorok dadah-dadah tersebut di dalam bungkusan teh.

“Suspek yang tidak bekerja itu pernah ditangkap di Selangor pada 19 Julai 2016 atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985. Dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah sehingga 11 Januari lalu.

“Suspek dipercayai aktif semula kira-kira sembilan bulan selepas dibebaskan dan kita sedang menyiasat jika dia mempunyai jaringan pengedaran dari Selangor atau sebagainya, yang mahu mengedar dadah ini di kawasan Kampar,” kata beliau dalam satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Tambah Ravi Chandran, saringan awal air kencing yang dibuat terhadap suspek mendapati ia positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.