KEPALANYA dipenggal, dibakar dan serpihan tengkoraknya bertaburan sebelum mayat wanita warga emas terbabit ditemui mati dalam keadaan mengerikan di sebuah rumah panjang di Roban, di Saratok petang tadi.

Mangsa, Gelingi Ngaing, 75, ditemui berlumuran darah dalam keadaan tertiarap tanpa kepala di ruang tamu rumah panjang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Polis Mordani Tanin ketika dihubungi mengesahkan seorang suspek lelaki berusia 57 tahun, juga tinggal di rumah panjang sama, ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang kampung kira-kira jam 3 petang tadi berhubung kes pembunuhan itu.

“Hasil siasatan di tempat kejadian menemui dua bilah parang, sebilah kapak dan satu batu pengasah di tempat mencuci berhadapan jalan masuk ke rumah panjang itu, dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, polis turut menemui serpihan tengkorak mangsa kira-kira tiga meter dari tempat senjata tajam itu dijumpai.

“€œSiasatan seterusnya membawa kepada penemuan serpihan tengkorak yang dibakar bersama sebuah motosikal di simpang masuk ke rumah panjang itu,” katanya.

Mordani memberitahu, menurut keterangan menantu mangsa, dalam kejadian berlaku kira-kira jam kurang 2.30 petang itu, ibu mentuanya sedang berehat di ruang tamu sebelum didatangi suspek yang kemudian terus menghayun dan melibas parangnya.

Katanya, menantu mangsa terselamat apabila sempat menyelamatkan diri melalui pintu dapur rumah berkenaan.

“€œSuspek yang dipercayai kurang siuman itu berjaya diberkas berhampiran dengan tempat kejadian dan hasil siasatan awal ke atasnya, dia mengaku memenggal dan kemudiannya membakar kepala mangsa bersama sebuah motosikal milik anak mangsa.

“€œLelaki itu juga mendakwa melakukan perbuatan itu selepas mendengar ‘seruan hantu’ untuk membunuh mangsa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat – hmetro