Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Tidak cukup dengan menyamun sebuah basikal tua, seorang lelaki tergamak menumbuk bahagian leher seorang wanita warga emas sehingga menyebabkannya tersungkur jatuh lalu maut beberapa jam kemudian.

Dalam kejadian sekitar 5.48 petang Selasa itu, mangsa, Yeong Lean Yoong, 72, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan mengheret basikal tuanya sebelum suspek yang menunggang motosikal menarik basikal itu sebelum menumbuk mangsa di bahagian leher.

Berikutan daripada itu, mangsa, dipercayai terjatuh tersungkur di bahagian tepi Jalan Walker, Pokok Assam, dekat sini dan mengalami hentakan di bahagian kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping berikutan pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib ketika ditemui Astro Awani di sini berkata ini merupakan kali pertama pihaknya berdepan dengan sebuah kes melibatkan penyiasatan samun basikal sepanjang perkhidmatannya.

“Pada peringkat awal, ianya merupakan sebuah kes samun basikal, di mana suspek meragut basikal itu, dan saya percaya dia menumbuk wanita tersebut kerana terdapat kesan lebam hentakan di leher mangsa, hasil daripada bedah siasat.

“Sekitar dua pagi (Rabu) kami terima makluman wanita itu telah meninggal dunia dan pihak forensik mengesahkan ianya berpunca daripada pendarahan dalaman, secara langsung, kes ini bertukar menjadi kes jenayah yang membawa kematian disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, di sini pada petang Rabu.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak mengambil sebarang dokumen, atau harta benda milik mangsa termasuk beg duit dan hanya meragut basikal berkenaan sekaligus menimbulkan keraguan motif membalas dendam.

Bagaimanapun, Mohamad Taib menegaskan bahawa beliau menolak kemungkinan motif dendam dalam siasatan kes tersebut kerana dipercayai dilakukan oleh kebanyakan suspek di Taiping yang terlibat dengan ketagihan dadah dan hanya mempunyai niat meragut basikal untuk dijual semula.

“Maklumat terkini kami, kami telah berjaya mengesan ciri-ciri suspek iaitu seorang lelaki tempatan berbadan gempal, menaiki motosikal jenis Honda Ex5 dan tidak bertopeng. Kami percaya dengan penemuan info terbaru ini, kami akan dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat.

“Saya menyeru kepada semua, yang menyaksikan peristiwa itu untuk tampil ke hadapan dan membantu pihak kami supaya kami dapat menangkap penjenayah ini dengan segera,”ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah basikal tua yang diragut oleh suspek di mana pemiliknya, seorang wanita warga emas jatuh tersungkur dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian berikutan pendarahan dalaman.

“Walaupun kes ini tampak ringan, ragut dan samun basikal sahaja, tetapi pihak PDRM amat memandang serius perkara ini kerana kes ini membawa kematian, jadi kita akan siasat secara teliti. Kita akan cari penjenayah sehingga dapat,”ujarnya.