GEORGETOWN: Seorang wanita warga Ukraine dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kokain tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lopatkina Klavdiia, 24, dilihat menangis sejurus Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu, manakala seorang lelaki dipercayai suaminya tidak masuk ke kamar mahkamah dan hanya menunggu di luar.

Sejurus mengetahui keputusan itu, lelaki terbabit juga dilihat menangis sebelum dia terus beredar untuk bertemu isterinya yang ketika itu dibawa keluar anggota polis.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, tertuduh sepatutnya mempunyai masa untuk melihat dua bungkusan plastik yang dibawanya dari Dubai menuju ke Kuala Lumpur seterusnya ke Pulau Pinang.

“Tertuduh dilihat ‘menutup mata’ untuk mengetahui apa kandungan yang dibawanya sedangkan dia mempunyai masa yang panjang.

“Dia tidak mengambil peluang itu untuk melihat kandungan bungkusan yang didakwa mengandungi coklat yang dibawanya,” katanya.

Sebelum ini, wanita itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi, bagaimanapun pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu memerintahkan tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan, Lopatkina yang mengandung sebulan ketika ditahan, didakwa mengedar dadah jenis kokain seberat 1.5 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, jam 11 pagi pada 31 Disember 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Lopatkina yang melahirkan anak perempuan ketika berada di penjara, diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Low Huey manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin – berita harian